Saturday, June 28, 2008

Apakah Tanah Adat Bumiputera

•APAKAH TANAH ADAT BUMIPUTRA ?

Mengikut adat-resam masyarakat Dayak, setiap ahli di dalam sesebuah komuniti mempunyai hak untuk menggunakan semua tanah ‘temuda’, hutan sekeliling dan saliran air di kawasan mereka.

Adat mengenai tanah ini telah menjamin hak seseorang individu atau ahli keluarga sesebuah komuniti untuk menggunakan tanah dan hasil-hasil yang diperolehi dari hutan.
Pada masa yang sama membuka kawasan tanah yang baru di dalam sempadan atau 'pemakai menoa' mereka.

Di bawah Seksyen 2 (a) Kanun Tanah Sarawak, tanah adat Bumiputra (NCL) didefinisikan sebagai “tanah di mana hak adat Bumiputra (NCR) telah didapati secara komunal ataupun selainnya mengikut undang-undang sebelum 1hb Januari 1958 dan masih lagi sah diperlakukan”.

Oleh kerana masyarakat Dayak telah menetap di tanah mereka sejak beberapa generasi maka hak mereka telah diakui oleh undang-undang.

Tanah hak adat masyarakat Dayak merangkumi:

tanah ‘temuda’ terdiri daripada tanahv yang telah ditanam dengan tanaman dan juga tanah yang dahulunya ditanam tetapi telah ditinggalkan mengikut kitaran penanaman berpindah untuk tujuan penyuburan tanah dan pemuliharaan hutan;

dan tanah ‘pemakai menoa’ di sekelilingv ‘temuda’ iaitu kawasan hutan dara di mana hasil-hasil hutan dikumpul oleh komuniti secara keseluruhan, dan di mana komuniti berkenaan bergantung kepadanya untuk kehidupan harian mereka seperti memburu, memperolehi bahan-bahan binaan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Petunjuk: Rumah panjang Kubur Sempadan ('antara menoa') Kawasan Tanah 'temuda' Kawasan Tanah komunal (Pemakai menoa) Sungai-sungai Kedua-dua klasifikasi tanah adat ini membentuk ‘Menoa’ yang mempunyai tanda-tanda sempadan dengan komuniti-komuniti lain. Sesebuah komuniti bergantung kepada kawasan ‘Menoa’ mereka untuk kehidupan mereka seharian.

Maka tanah, hutan dan sumberdaya yang terdapat dalam kawasan Menoa adalah milik komuniti tersebut. Selepas 1hb Januari 1958, di bawah Seksyen 5 (2) Kanun Tanah Sarawak, hak adat kepada tanah boleh dibuat dan diperolehi dengan menggunakan cara-cara berikut:
a) penebangan hutan dara dan menduduki tanah yang telah dibuka;
b) menanam pokok-pokok buah di tanah tersebut;
c) menduduki atau bercucuk tanam di tanah tersebut;
d) penggunaan tanah untuk perkuburan atau tempat pemujaan;
e) menggunakan apa-apa jenis tanah untuk mendapatkan hak; atau
f) (sudah dimansuhkan pada tahun 2000) Undang-undang tanah Sarawak memang mengakui hak tanah adat Bumiputra ke atas tanah dan wilayah yang diduduki oleh masyarakat Dayak.

Akan tetapi pelbagai usaha dibuat untuk menggugat kesahihan hak tanah adat seperti Kerajaan Negeri sering melanggar undang-undang ini dengan mengeluarkan konsesi-konsesi, lesen-lesen pembalakan dan geran-geran tanah untuk perladangan komersial.

Dari zaman pemerintahan koloni sehingga terbentuknya Persekutuan Malaysia, sistem pemegangan tanah di Sarawak telah mengalami perubahan yang banyak.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbagai pindaan telah dibuat di dalam Kanun Tanah Sarawak yang menjejas hak dan status tanah.

Kerajaan Negeri Sarawak juga telah mengubal beberapa siri undang-undang, pindaan dan peraturan berkaitan dengan tanah dan hutan.

Ini secara sistematik dan beperingkat-peringkat telah menjejaskan hak tanah adat, sumber-sumber asli dan hutan masyarakat Dayak. **********************************

•BUKTI TANAH ADAT BUMIPUTRA WUJUD

Kebanyakan masyarakat Dayak tidak mempunyai rekod bertulis tentang sempadan ‘menoa’ mereka.

Mereka hanya tahu sempadan mereka melalui lisan dengan mengenali sesuatu tempat bertanda, contohnya,

seperti rabung bukit atau gunung,
sungai, lembah,
banjaran gunung atau
bukit, rumpun buluh, kayu tapang atau kayu belian, dan tanda-tanda yang lain.

‘Antara menoa’

sesuatu komuniti dengan komuniti yang lain telah pun dipersetujui oleh komuniti-komuniti tersebut mengikut adat-resam mereka.

Jika ada penduduk-penduduk yang memasuki ‘menoa’ komuniti yang lain tanpa izin maka mereka ini dituduh, dibicara dan didenda mengikut adat masyarakat berkenaan di Mahkamah Penghulu ('Native Court').

Contohnya, ‘Tusun Tunggu’ digunakan bagi Masyarakat Iban. Di sini nyata bahawa tanah adat Bumiputra mempunyai maksud yang sah kerana Mahkamah Penghulu ('Native Court') mengakuinya.

Pada tahun 1939, kerajaan Brooke telah mengeluarkan Surat Pekeliling Sekretariat No. 12 (Secretariat Circular No. 12) untuk merekodkan sempadan tanah adat secara rasmi.

Tujuan penandaan dan rekod sempadan ini ialah untuk sesebuah komuniti merintis dan menanda sempadan menoa mereka. Ia juga bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya pencerobohan dan persengketaan di antara komuniti-komuniti.

Bagi pihak kerajaan sempadan tanah adat adalah untuk mengelakkan masyarakat Dayak dari membuka kawasan tanah kerajaan tanpa meminta persetujuan terlebih dahulu daripada Pegawai Daerah (DO). Walaupun masyarakat Dayak telah lama mengamalkan 'antara menoa', namun dengan adanya Surat Pekeliling tersebut, ia telah mengukuhkan dan membuktikan tanah hak adat (NCR) wujud.

Selepas penaklukan Jepun pada tahun 1946, Sarawak telah diserahkan oleh kerajaan Brooke kepada Pemerintahan British sebagai Negeri Jajahan. Pihak British telah merekodkan sempadan-sempadan tanah adat Bumiputra (NCL) masyarakat Dayak dengan membuat peta lakaran (sketch map) kawasan tanah tersebut.

Rekod-rekod ini masih disimpan di Pejabat Daerah, yang dikumpulkan di dalam satu buku yang dinamakan Buku Sempadan atau ‘Boundary Book’. Secara kesimpulan bukti-bukti bahawa tanah NCR wujud adalah:

1. Tanda-tanda fisikal penandaan asal pembentukan sempadan menoa
2. Adat masyarakat
3. Surat Pekeliling Sekretariat No. 12 / 1939
4. Rekod-rekod rasmi (Buku Sempadan) Maka persoalan yang timbul mengenai dokumen-dokumen untuk membuktikan tututan hak tanah adat dan kewujudan rekod-rekod rasmi dengan kerajaan adalah tidak relevan kerana sempadan atau ‘antara menoa’ telah pun wujud.

•DAPATKAH MASYARAKAT DAYAK MEMPEROLEHI HAK TANAH ADAT BUMIPUTRA SELEPAS TAHUN1958 ?

Dapat, dengan kebenaran diberi oleh Kerajaan. Hanya selepas 1hb Januari 1958, masyarakat Dayak tidak dibenarkan menduduki atau membuka kawasan tanah yang baru selain daripada tanah yang terdapat dalam kawasan 'menoa' mereka. Kerajaan Negeri hanya membenarkan masyarakat Dayak membuka dan menduduki Tanah Kerajaan (State Land) jika kebenaran atau permit telah diberi. Contohnya:

Pada tahun 1960'an, komuniti Iban di Sungai Sebatu, dalam kawasan Suai-Niah telah dibenarkan oleh Kerajaan Negeri untuk menduduki tanah kerajaan dan mereka mempunyai bukti seperti dokumen-dokumen dan peta tanah mereka yang diberi oleh Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Miri.

Dengan cara sebegini, hak tanah adat mereka adalah sah.

•APAKAH UNDANG-UNDANG MELINDUNGI HAK TANAH ADAT MASYARAKAT DAYAK ?

Ada, seperti yang diperuntukan di dalam Bab 81 Kanun Tanah Sarawak iaitu Seksyen 2 (a), 5 (2) dan 15 (1). Seksyen 2 (a) Kanun Tanah Sarawak adalah definisi hak tanah adat bumiputera manakala Seksyen 5 (2) pula adalah undang-undang bagaimana cara NCR boleh diperolehi. Seksyen 15 (1) adalah mengenai perlindungan hak tanah adat.

Ianya menyatakan bahawa tanah kerajaan tidak akan diagih (diberi) milik sehingga semua hak-hak adat di tanah tersebut telah pun diserahkan atau dihapuskan atau peruntukan telah disediakan untuk pampasan orang-orang yang memegang hak-hak tersebut.

Selain daripada Kanun Tanah Sarawak, undang-undang lain yang melindungi tanah NCR ialah: Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menyatakan:
(1) Tiada sesiapa pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Perkara 47 Perlembagaan Sarawak menyatakan:

(1) Tertakluk kepada peruntukkan di dalam Perkara ini, semua harta-benda danaset di mana sebelum berkuat-kuasanya Perlembagaan ini, adalah dibawah kuasa Baginda untuk tujuan Koloni Sarawak, akan beralih ke Negeri berkuat-kuasanya Perlembagaan ini.
(2) Mana-mana tanah di dalam Negeri di mana sebelum berkuat-kuasanya Perlembagaan ini, adalah dibawah kuasa Baginda akan beralih ke Negeri berkuat-kuasanya Perlembagaan ini.
(3) Mana-mana harta-benda di mana sebelum berkuat-kuasanya Perlembagaan ini telah pun diambil-milik oleh Baginda akan diambil milik oleh Negeri berkuat-kuasanya Perlembagaan ini.

•APAKAH TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL UNTUK MEMPERTAHANKAN DAN MELINDUNGI HAK TANAH ADAT ?

Beberapa langkah boleh diambil demi mempertahankan dan melindungi hak, harta atau tanah adat daripada dirampas, dicerobohi atau dimusnah dengan mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:

1. Merekod sejarah komuniti dan membuat kajian tataguna tanah.
2. Membuat survei sempadan menoa dan merekodkan maklumat-maklumat itu di atas peta. (Sila rujuk ke Muka surat 10- Mengapa Peta Menoa Penting ……. ?)
3. Dokumen tanah adat. Mengumpul dan membuat salinan dokumen-dokumen mengenai kewujudan sempadan Menoa dan mengirimkannya kepada ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen yang mewakili, menteri-menteri dan jabatan-jabatan kerajaan yang releven.
4. Membuat surat aduan kepada Jabatan-jabatan/Agensi Kerajaan, ahli-ahli politikus atau menteri-menteri berkenaan mengenai masalah tanah adat seperti rampasan hak, pencerobohan dan kerosakan.
5. Mengambil gambar dan menanda bukti-bukti fizikal yang terdapat di tanah adat, contohnya lokasi sejarah, kawasan perkuburan, pokok buah-buahan, bekas tapak rumah panjang lama (tembawai) dan sebagainya.
6. Mengambil gambar pencerobohan dan kerosakan ke atas harta, tanah atau sumber-sumber, contohnya syarikat-syarikat swasta (mengambil gambar pekerja-pekerja, jentera yang digunakan dan sebagainya).
7. Membuat laporan polis tentang pencerobohan, ugutan, kacau atau apa sahaja yang dibuat oleh sesuatu pihak untuk merampas tanah adat dan merosak harta-harta serta sumber yang menyalahi undang-undang.
8. Mogok. Jika keadaan amat terdesak dan tiada pilihan lain maka, seharusnya mendirikan benteng (blockade) di dalam sempadan tanah adat.
9. Tindakan undang-undang. Membawa kes-kes mengenai tanah ke mahkamah yang bersabit dengan pencerobohan, kerosakan, rampasan dan penghapusan hak tanah. **********************************

•MENGAPAKAH PETA MENOA (TANAH ADAT) PENTING ?

Peta adalah dokumen yang menggambarkan keadaan struktur tanah dan mengandungi maklumat-maklumat penting tentang kawasan tanah adat sesebuah komuniti rumah panjang. Peta Menoa boleh digunakan sebagai bukti kewujudan sempadan dan asas tuntutan hak tanah adat. Tujuan Peta dan maklumat-maklumat yang diperlukan:

Tujuan membuat peta Maklumat-maklumat yang diperlukan Untuk berunding dengan kerajaan, syarikat swasta, dan lain-lain mengenai projek pembangunan yang melibatkan tanah adat •

Tanda sempadan dan keluasan tanah 'menoa'

• Kawasan 'temuda' komuniti
• Hutan komunal dan 'pulau'
• Lokasi kebun, sumber asli, dll
• Lokasi sejarah Merancang pemuliharaan sumber asli dan pengurusan tataguna tanah dengan baik
• Semua maklumat seperti di atas
• Lokasi kawasan hutan, sungai-sungai dan bukit
• Kawasan tadahan air Mengelakkan pertelingkahan antara kaum tentang milik tanah, dan antara ahli-ahli komuniti
• Sempadan tanah adat
• Kedudukan tanah-tanah 'temuda', kebun dan lain-lain
• Tanda-tanda fisikal Menunjukkan lokasi sejarah: kepercayaan, budaya dan adat-resam - untuk mengajar generasi muda tentang amalan tradisional
• Kawasan 'tembawai'
• Tempat keramat
• Tanah-tanah perkuburan
• Tempat bersejarah Dokumen sebagai bukti untuk tindakan undang-undang di mahkamah
• Semua maklumat seperti di atas
• Saksi lisan oleh penduduk rumah panjai.

No comments: